Ujian Bagi Umat Nabi Muhammad SAW Ialah ??



Allah memulakan Surah At-Takathur dengan penegasan tentang sikap manusia yang dilalaikan dengan harta dan dunia. Kita berlumba-lumba mengumpul harta sehingga lupa kepada tujuan sebenar kita diciptakan di dunia.

(أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُر)

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh)” – (Surah At-Takathur 102: 1)

Rasulullah SAW juga pernah berkata bahawa; Manusia akan semakin meningkat tua, namun ada dua ciri dalam dirinya yang akan semakin muda iaitu; perasaan cinta kepada kehidupan dan cinta kepada harta.

Apa makna yang terkandung di sebalik hadis ini?

Tidak ada perkara di dunia yang lebih besar kuasanya untuk mengubah seorang manusia melainkan harta. Berapa banyak orang yang kita lihat di sekeliling kita, berubah sikap, prinsip dan pegangan hidup apabila menjadi kaya, memegang jawatan-jawatan tinggi, apabila diberi pangkat yang besar dan gelaran di hadapan nama.

Rasulullah menegaskan perkara berkaitan harta dan pangkat ini dalam sabdanya yang lain:

(إِنَّ لِكُلِّ أُمَّةٍ فِتْنَةٌ، وَفِتْنَةَ أُمَّتِي الْمَالُ)

Sesungguhnya pada setiap umat (kaum) ada fitnah (yang merosak/menyesatkan mereka) dan fitnah (pada) umatku adalah harta”(Hadis riwayat Tirmidzi, No 2336. Hadis dinilai sahih)

Fitnah harta ini bukan terjadi hanya terhadap orang kaya tetapi juga kepada orang yang tidak berharta dan yang sentiasa mempunyai halangan untuk memiliki apa yang diingini. Mengapa? Kedua-dua kelompok ini akan mempunyai perasaan suka kepada wang. Satu pihak inginkan wang untuk mendapat apa yang diingini. Satu pihak lagi suka kepada wang dan harta yang telah dimiliki dan takut ianya hilang.

Perasaan suka kepada wang dan harta sememangnya suatu kecenderungan yang ada dalam diri setiap orang. Siapa yang tidak suka kepada duit? Banyak keperluan dan keinginan hidup mampu diraih dengan adanya duit- telefon model terbaru, kasut bertukar setiap bulan, melancong setiap tahun.

Jika ditanya sesiapa, pasti jawapannya ‘saya mahu’. Itu fitrah manusia yang inginkan kesenangan dan keselesaan. Namun dalam masa yang sama harta juga ujian. Pengaruh itu ujian. Dunia itu ujian. Nafsu itu ujian. Dan ujian perlukan pengorbanan.

Jika kita teliti sirah, Rasulullah SAW bukan tidak pernah ditawarkan pangkat dan harta. Sahabat juga ada yang pernah hidup dalam kemewahan. Mereka bahkan pernah melihat mahkota dan takhta Kerajaan Kisra, Parsi yang menjadi kemegahan dunia ketika itu.

Namun semua itu langsung tidak menggoyahkan hati kerana mereka tahu bahawa dunia ini sekadar tipu daya. Mata mereka seolah-olah dapat melihat ganjaran sebenar yang disediakan Allah, hati mereka percaya dengan janji Allah. Maka segala yang terlihat di dunia ini terasa benar-benar kecil, tidak lebih nilainya daripada sayap nyamuk.

Dunia ini memang disediakan untuk kita- untuk menyara kehidupan, untuk memudahkan urusan, untuk beramal dan beribadah. Ambil lah dunia sekadarnya sahaja, jangan sampai bergantung sepenuhnya kepada dunia. 

0 Response to "Ujian Bagi Umat Nabi Muhammad SAW Ialah ??"

Post a Comment